Ana səhifə

Dalam mahkamah tinggi malaya di kuala lumpur wilayah persekutuan


Yüklə 98.84 Kb.
tarix09.05.2016
ölçüsü98.84 Kb.
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR
WILAYAH PERSEKUTUAN
[BAHAGIAN SIVIL]
GUAMAN NO: S5-21-313-2006


ANTARA


  1. ROSLY BIN MOHD YUSOF

(NO. K/P: 530606-10-5711)

  1. SITI ZANATUL NABILAH BINTI ROSLY

(Seorang kanak-kanak dan pesakit mendakwa melalui

Bapa dan Sahabat wakilnya, Rosly bin Mohd. Yusof) …PLAINTIF-

PLAINTIF


DAN


  1. AHMAD ZAMRI BIN HASAN

(NO. K/P: 640713-06-5687)

  1. JAMIYAH BINTI ISMAIL

  2. KHAIDIR BIN NAWI

  3. PENGETUA, SEKOLAH MENENGAH TEKNIK GOMBAK

  4. SEKOLAH MENENGAH TEKNIK GOMBAK

  5. KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA …DEFENDAN- DEFENDAN

ALASAN PENGHAKIMAN

RINGKASAN FAKTA KES

Kes Plaintif :

Ini adalah tuntutan Plaintif-Plaintif terhadap Defendan-Defendan untuk gantirugi untuk kecederaan yang Plaintif Kedua alami semasa Plaitif Kedua berada di dalam penyeliaan dan pengawasan Defendan-Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga. Plaintif Kedua telah lemas semasa berada dalam penyeliaan dan pengawasan mereka. Akibat dari tragedi lemas tersebut Plaintif Kedua telah alami severe brain damage dan lumpuh dan kini terlantar dikatil dan bergantug sepenuhnya pada ibubapanya untuk urusan seharian beliau.

Tiada kebenaran bertulis diberikan oleh ibubapa Plaintif Kedua untuk beliau menyertai Program Amali Kejuruteraan Awam di Tasik Chini, Kuantan, Pahang.

Plaintif-Plaintif menegaskan yang Defendan-Defendan telah melanggar kewajipan berjaga-jaga yang dikenakan ke atas mereka. Plaintif-Plaintif menegaskan juga bahawa doktrin res ipsa loquitor terpakai terhadap Defendan-Defendan.



Kes Defendan :

Defendan-Defendan menegaskan bahawa mereka tidak bertanggungjawab kerana mereka telah mengambil segala langkah-langkah berhati-hati yang munasabah untuk mengelakkan daripada berlakunya tragedi lemas yang menimpa Plaintif Kedua. Apa yang berlaku adalah atas kecuaian Plaintif Kedua sendiri dengan mengingkari arahan yang diberikan oleh Defendan Kedua.



Plaintif-Plaintif tidak boleh menuntut gantirugi terhadap Defendan-Defendan kerana mereka telah pun mendapat bantuan dalam bentuk kewangan dan peralatan-peralatan dari Defendan-Defendan yang semuanya berjumlah RM32, 278.15.

Penganalisaan Keterangan :

Adalah diterima bahawa atas sebab hubungan khas antara guru dan murid maka seseorang guru mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap muridnya untuk menjaga keselamatan murid beliau.

Dalam kes Government of Malaysia & Ors v. Jumat bin Mohamed & Anor [1977] 1 LNS 29; [1977] 2 MLJ 103, at p. 104 menyatakan:

It is accepted that by reason of the special relationship of teacher and pupil, a school teacher owes a duty to the pupil to take reasonable care, for the safety of the pupil. The duty of care on the part of the teacher to the plaintiff must commensurate with his/her opportunity and ability to protect the pupil from dangers that are known or that should be apprehended and the duty of care required is that which a careful father with a very large family would take of his own children (see Ricketts v. Erith Borough Council [1943] 2 ALL ER 629, 631. It is not a duty of insurance against harm but only a duty to take reasonable care for the safety of the pupil. The duty is aptly described by the learned Chief Justice of Victoria in the judgment of the Full Court in Richards v. State of Victoria [1969] VR 139, 141 when he said:

The duty of care owed by (the teacher) required only that he should take such measures as in all the circumstances were reasonable to prevent physical injury to (the pupil). This duty not being one to insure against injury, but to take reasonable care to prevent it, required no more than the taking of reasonable steps to protect the plaintiff against risks of injury which ex hypothesi (the teacher) should resonably have foreseen."

Dalam perbicaraan saksi- saksi Defendan mengakui fakta-fakta yang berikut:-



  • Plaintif Kedua adalah pelajar pada Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga.

  • Defendan Pertama bersama Defendan Kedua dan Ketiga merupakan guru pengiring untuk rombongan sekolah bagi pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang disertai oleh Plaintif Kedua untuk Program Amali Kejuruteraan Awam (rombongan tersebut).

  • Defendan Pertama merupakan ketua rombongan tersebut yang disertai oleh Plaintif Kedua.

  • Defendan Keempat adalah pengetua sekolah tempat Plaintif Kedua belajar.

  • Plaintif Kedua adalah anggota rombongan Program Amali Kejuruteraan Awam tersebut.

  • Defendan Kedua adalah guru yang diberi tanggungjawab untuk mengawasi pelajar-pelajar perempuan termasuk Plaintif Kedua semasa kejadian lemas keatas Plaintif Kedua berlaku.

  • SD4 sebagai Defendan Keempat telah memberi kebenaran untuk Program Amali Kejuruteraan Awam ini yang disertai oleh Plaintif Kedua.

  • SD4 sebagai Defendan Keempat juga merupakan Pengetua kepada sekolah dimana Plaintif Kedua belajar.

Fakta-fakta ini jelas menunjukkan bahawa Plaintif Kedua adalah pelajar kepada Defendan Pertama dan Kedua. Defendan Ketiga adalah guru pengiring rombongan tersebut bersama Defendan Pertama dan Kedua. Maka mereka mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap Plaintif Kedua agar beliau sentiasa selamat sepanjang menyertai rombongan tersebut. Ini membuktikan ujudnya hubungan khas antara guru dan murid di antara mereka.

Adalah fakta yang diterima bahawa hubungan khas guru dan murid bagi seorang guru sekolah akan mewujudkan kewajipan berhati-hati terhadap murid berkenaan untuk seseorang guru berkenaan untuk mengambil perhatian yang munasabah untuk keselamatan murid itu.



Saya berpandangan bahawa terdapat hubungan khas di antara Plaintif Kedua dan Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga di dalam kes ini. Maka dengan itu wujud kewajipan berjaga-jaga oleh Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga terhadap Plaintif Kedua sepanjang masa beliau bersama dengan rombongan berkenaan.

Samada Defendan-Defendan telah melanggar kewajipan berjaga-jaga beliau terhadap Plaintif Kedua? Dalam kes Arab Malaysian Finance Bhd v. Steven Phoa Cheng Loon [2003] 1 CLJ 585; [2003] 1 MLJ 567, YA Gopal Sri Ram (beliau ketika itu) telah merujuk kepada kes Blyth v. Birmingham Waterworks Co [1856] 11 Exch 781 dalam menentukan apakah yang dimaksudkan dengan kemungkiran atau kewajipan berjaga-jaga . Kes Inggeris itu menyatakan:-

Negligence is the omission to do something which a reasonable man, guided upon those considerations which ordinarily regulate the conduct of human affairs, would do, or doing something which a prudent and reasonable man would not do.

Setelah dibuktikan ujudnya kewajipan berjaga-jaga, Mahkamah selanjutnya akan pertimbangkan samada terdapat pelanggaran atau kemungkiran kewajipan berjaga-jaga tersebut. Ini merupakan persoalan undang-undang.

Diplidkan oleh Plaintif bahawa Defendan-Defendan tidak memberi surat memohon kebenaran daripada Plaintif Pertama untuk Plaintif Kedua menyertai rombongan tersebut. Plaintif menghujahkan bahawa Defendan-Defendan tidak memberi surat memohon kebenaran kepada Plaintif Pertama untuk Plaintif Kedua menyertai rombongan tersebut. Defendan-Defendan pula menghujahkan surat berkenaan ada diberikan melalui Plaintif Kedua dan keterangan ini adalah dari SD3 dan disokong oleh keterangan SP8.

Plaintif Pertama menyatakan yang beliau tidak pernah memberi kebenaran bertulis pada Defendan-Defendan untuk Plaintif Kedua menyertai rombongan tersebut. Defendan-Defendan menghujahkan bahawa Plaintif Pertama ada memberi kebenaran melalui D10.

D10, adalah dokumen yang dipertikaikan oleh kedua-dua pihak dan semasa pertikaian dibangkitkan Mahkamah mengarahkan agar kedua-dua pihak berhujah samada kandungan D10 boleh diterima sebagai keterangan atau tidak.

Saya berpendapat isu samada kandungan D10 boleh diterima sebagai keterangan atau tidak perlu diputuskan dahulu. Plaintif Pertama (SP1) menafikan yang beliau menerima D10. Plaintif Pertama tidak pernah melihat D10 sebelum kes ini difailkan terhadap Defendan-Defendan. Beliau menafikan tandatangan di dalam D10 pada tandatangan ibubapa/penjaga itu sebagai tandatangan beliau. Beliau ada membuat lapuran polis berkenaan perkara ini. Laporan polis dikemukakan sebagai P21 dan menyatakan yang beliau tidak pernah menulis dan tandatangani D10.

Bila SP1 disoalbalas oleh Defendan-Defendan beliau masih mengatakan yang beliau tidak terima D10, beliau tidak mengisi dan tidak tandatangani D10. Dalam keadaan ini Plaintif telah melepasi beban keatas beliau dan beban telah berpindah kepada Defendan-Defendan untuk menyangkal yang pengataan Plaintif Pertama adalah tidak benar.

Setelah meneliti keseluruhan keterangan, saya dapati bahawa surat memohon kebenaran ini ada diberikan kepada Plaintif Kedua tapi tiada keterangan yang surat berkenaan ada diberikan pada Plaintif Pertama untuk memohon kebenaran daripadanya bagi Plaintif Kedua menyertai rombongan ini. Plaintif Pertama didalam keterangan beliau menafikan yang beliau menerima surat kebenaran ini. Plaintif Pertama hadir ke Mahkamah untuk memberi keterangan. Keterangan beliau tidak tercabar. Jadi, beban sekarang berpindah kepada Defendan-Defendan untuk membuktikannya tapi Defendan-Defendan gagal melepasai beban yang dikenakan ke atas beliau ini.

Atas imbangan keberangkalian, saya dapati bahawa SP2 tidak pernah memberi kebenaran bertulis untuk Plaintif Kedua mandi di Air Terjun Sungai Pandan. Mengikut keterangan Plaintif Pertama, Plaintif Kedua ada menelefon beliau untuk kebenaran daripada Plaintif untuk beliau menyertai rombongan Defendan-Defendan ke Tasik Chini, Kuantan, Pahang sahaja dan tidak di Air Terjun Sungai Pandan.Keterangan ini tidak pernah dicabar oleh Defendan-Defendan.

Butir-butir kecuian Defendan-Defendan yang diplidkan adalah seperti berikut:



  1. gagal dan/cuai untuk menjaga keselamatan Plaintif Kedua ketika mandi dan /atau berenang di air terjun tersebut.

  2. gagal mempertimbangkan tahap bahaya dan risiko berhenti dan membenarkan Plaintif Kedua mandi dan/atau berenang di air terjun tersebut.

  3. gagal menggunakan kuasa (authority) dan kebenaran yang diberikan oleh Plaintif Pertama (kebenaran yang diberikan bukanlah kebenaran bertulis) yang hanya diberikan untuk tujuan projek amali kejuruturaan semata-mata dan tidak sama sekali untuk tujuan lain.

  4. gagal untuk memantau dan mengawal dan/atau menjaga keselamatan Plaintif Kedua di air terjun tersebut sehingga menyebabkan Plaintif Kedua lemas diair terjun tersebut.

  5. gagal untuk mengambil langkah-langkah segera yang sesuai bagi membantu Plaintif Kedua yang lemas serta gagal meminimumkan kecederaan dan implikasi yang terjadi kepada Plaintif Kedua akibat kejadian lemas yang menimpanya.

  6. gagal menghubungi unit kecemasan hospital berdekatan dengan segera bagi mendapatkan bantuan untuk mengurangkan kecederaan dan implikasi yang terjadi kepada Plaintif Kedua akibat kejadian lemas yang menimpanya.

  7. gagal untuk memastikan terdapat bekalan peralatan keselamatan dan perubatan yang secukupnya.

Apakah tujuan ke Air Terjun Sungai Pandan?

Plaintif menghujahkan tujuan ke Air Terjun Sungai Pandan adalah untuk bermandi dan tidak termasuk dalam aktiviti untuk Program Amali Kejuruteraan Awam. Manakala Defendan-Defendan menghujahkan tujuan ke air terjun tersebut untuk mandi dan melihat batu baur di air terjun tersebut. Ini merupakan sebahagian daripada aktiviti program berkenaan.

Mengikut D9, pada jam 1.30 tengah hari rombongan berkenaan bertolak ke Air Terjun Sungai Pandan dan selepas zohor program mereka seterusnya ialah riadah di air. Mengikut D9 lagi, ‘selepas aktiviti kem dijalankan pelajar akan membuat lawatan berkaitan dengan kejuruteraan awam berhubung dengan amali seperti…….kauri batu baur diperjalanan ke hutan lipur Sungai Pandan.’ Pelajar-pelajar hanya akan melihat batu baur di perjalanan ke hutan lipur sahaja dan bukannya di air terjun berkenaan.

D15 menyatakan bahawa aktiviti berkaitan semasa Air Terjun Sungai Pandan adalah mandi untuk membersihkan badan, kemudian naik bas dan pulang.

Keterangan Defendan Kedua menyatakan selepas taklimat oleh Defendan Pertama selesai pelajar-pelajar dibenarkan turun dari bas bagi mereka yang ingin mandi atau bermain air.

SP4 menyatakan tujuan singgah di air terjun tersebut untuk mandi dan membersihkan diri sahaja. SD6 semasa disoal balas bersetuju bahawa tujuan ke air terjun itu adalah untuk mandi sahaja tetapi bila disoal semula beliau menyatakan pelajar-pelajar ke sana untuk mandi manda dan memerhatikan batu baur. Walau bagaiman pun Plaintif Pertama tidak pernah memberi kebenaran pada Defendan-Defendan untuk membawa Plaintif Kedua untuk mandi di Air Terjun Sungai Pandan ini.
Keterangan D15, Defendan Kedua dan SP4 disokong oleh keterangan SD4 dimana SD4 menyetujui dengan Peguam Plaintif-Plaintif bahawa tujuan pelajar-pelajar singgah di air terjun tersebut adalah untuk mandi dan membersihkan diri sahaja.
Ikut keterangan SD3, ini adalah kali keempat beliau membawa pelajar-pelajar beliau untuk program sekolah ke Air Terjun Sungai Pandan ini. SD3 adalah ketua rombongan ini dan beliau juga sebagai guru pengiring yang dibantu oleh Defendan Kedua dan Ketiga. Pada hari kejadian SD3 tidak memantau pelajar-pelajar di dalam rombongan ini semasa berada di air terjun berkenaan kerana beliau tidak sihat dan berehat didalam bas.
Sebelum pelajar-pelajar bermain diair terjun tersebut, SD3 memberitahu pelajar-pelajar untuk mendengar arahan Defendan Kedua bagi pelajar pelajar perempuan dan Defendan Ketiga bagi pelajar pelajar lelaki dengan dibantu oleh Encik Noor Azam (SD2). SD3 juga ada memberi taklimat pada pelajar-pelajar yang ingin bermain air agar hanya bermain air di kawasan yang telah ditetapkan. Kawasan yang ditetapkan ikut keterangan SD3 seperti berikut:
S: 15 Apa maksud encik kawasan yang ditetapkan?

J: 15 Saya telah memberitahu had kawasan yang mana mereka dibenarkan bermain air iaitu tidak menghampiri kawasan jambatan kerana kawasan itu agak dalam.
Plaintif Kedua merupakan pelajar yang pertama kali mengikuti rombongan berkenaan ke air terjun tersebut dan SD3 hanya memberi taklimat sahaja agar tidak hampiri kawasan jambatan. Plaintif Kedua tidak ditunjukkan apakah kawasan yang dimaksudkan ‘hampir kawasan jambatan’ 'berkenaan.
Sebagai pelajar yang pertama kali kes itu, adalah menjadi tugas SD3 dan Defenden Kedua untuk pastikan keselamatan Plaintif Kedua didalam tindakan ini terjamin. Jadi mereka mesti secara jelas dan khusus untuk memberitahu Plaintif Kedua tentang kawasan yang ‘hampir kawasan jambatan’ yang membahayakan itu.

Defendan Kedua ditugaskan untuk mengawasi pelajar-pelajar perempuan. Defendan-Defendan gagal mempertimbangkan tahap bahaya dan risiko berhenti dan membenarkan Plaintif Kedua mandi atau bermain air di air terjun tersebut.Ini adalah kerana:



  • ini adalah kali pertama Plaintif Kedua berada diair terjun tersebut,

  • tiada larangan yang jelas dan khusus diberikan oleh Defendan Pertama dan Kedua tentang bahayanya mandi atau bermain air ‘hampir kawasan jambatan’ yang membahayakan itu,

  • mengikut keterangan SD2, dipandang dengan mata kasar cuma boleh nampak air sahaja di tempat kejadian dan sesiapa yang belum biasa dengan tempat itu tidak akan tahu yang kawasan itu adalah dalam dan merbahaya,

  • Defendan Pertama (SD1) tahu kawasan-kawasan bahaya di tempat berkenaan tapi masih membenarkan pelajar-pelajar bermain air di air terjun berkenaan.

SD3 telah empat kali ke air terjun tersebut dan beliau tahu kawasan itu merbahaya tapi masih membenarkan pelajar-pelajar bermain air dan mandi di situ, saya dapati yang SD3 telah dapat mempralihat akan bahaya-bahaya yang akan berlaku keatas pelajar-pelajar beliau termasuk Plaintif Kedua.


Defendan Kedua gagal memantau dan mengawasi keselamatan Plaintif Kedua diair terjun tersebut sehingga menyebabkan Plaintif Kedua lemas.
Defendan-Defendan tidak menafikan yang Plaintif Kedua lemas semasa berada didalam penyeliaan dan pengawasan Defendan-Defendan. Defendan Kedua yang ditugaskan untuk mengawasai pelajar-pelajar hanya sedar yang Plaintif Kedua tidak ada selepas SD2 menyelamatkan tiga pelajar yang terkapai-kapai di dalam air, setelah mendengar jeritan dari pelajar beliau yang memberitahu yang Plaintif Kedua tiada di dalam seliaan dan pengawasan beliau.
Defendan Kedua sendiri tidak terus bertindak untuk menyelamatkan Plaintif Kedua dengan apa cara sekali pun tapi sebaliknya berlari kepada bas mereka untuk beritahu Defendan Pertama. Ini telah memakan masa untuk Defendan Kedua pergi memanggil SD3 yang menjadi Ketua Rombongan tersebut. Tiada keterangan yang beliau meminta pertolongan orang awam atau sesiapa lain untuk segera menyelamatkan Plaintif Kedua.
SD2 yang berada ditempat kejadian, menurut beliau, beliau telah kepenatan setelah menyelamatkan tiga pelajar lain dan selepas itu baru meminta pertolongan orang awam untuk membantu menyelamatkan Plaintif Kedua. Orang awam telah berjaya menarik naik Plaintif Kedua tapi pada masa itu ikut keterangan SD2, Plaintif Kedua sudah tidak bernafas lagi.
Bila Defendan Pertama tiba, beliau ada beri bantuan CPR dan selepas itu baru kelihatan Plaintif Kedua bernafas semula. Defendan-Defendan tidak menghubungi pihak ambulan tapi sebaliknya membawa Plaintif dengan kereta tanpa ada apa –apa pertolongan kecemasan atau rawatan dari mereka yang ada pengetahuandalam bidang perubatan semasa beliau diangkat keluar dari air sehingga tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Pahang.

Defendan-Defendan gagal mengambil langkah-langkah segera yang sesuai bagi membantu Plaintif Kedua yang lemas serta gagal meminimumkan kecederaan dan implikasi yang terjadi kepada Plaintif Kedua akibat kejadian lemas yang menimpanya.


Defendan-Defendan gagal menghubungi pihak ambulan hospital berdekatan dengan segera bagi mendapatkan bantuan untuk mengurangkan kecederaan kepada Plaintif Kedua.
Mengikut keterangan SD1,SD3 dan Defendan Ketiga bahawa pihak mereka ada menyediakan peti keselamatan. Ikut keterangan Defendan Kedua peti keselamatan tidak digunakan untuk membantu Plaintif Kedua kerana tidak dibawa bersama ke tempat kejadian. Dalam keadaan ini Defendan-Defendan gagal memastikan bekalan peralatan keselamatan disediakan dengan sempurna dan sedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

Salleh Abas FJ menyatakan didalam kes Mohamed Raihan bin Ibrahim & Anor v Government of Malaysia & Ors[1982] CLJ 232 (Rep) [1982] CLJ 150; [1981] 2 MLJ 27, pada muka surat 28:



In conclusion we are of the opinion that having regard to what we have discussed above, the respondents were therefore negligent for failing to take all reasonable and proper steps to prevent the appellant under their care from sustaining the injury and that their teacher did not check the condition of the garden tools nor provided a safe system of holding the gardening class.

Dari keterangan yang diberikan saya dapati Defendan Pertama dan Defendan Kedua tidak memberi amaran yang mencukupi bagi Plaintif Kedua yang pertama kali mengunjung ke tempat berkenaan. Defendan Kedua juga tidak memberi pengawasan sepenuhnya pada Plaintif Kedua dan tiga lagi rakan Plaintif Kedua yang terlibat dalam tragedi ini. Defendan Kedua hanya sedar tentang Plaintif Kedua ini hanya bila beliau diberitahu tentang kejadian lemas ini oleh pelajar beliau. Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga sebagai guru pengiring kepada Plaintif Kedua tidak mengambil langkah-langkah manasabah dalam semua hal keadaan yang manasabah untuk mencegah kecederaan fizikal terhadap Plaintif Kedua. Tanggungjawab keatas mereka ini bukanlah untuk mendapatkan perlindungan insurans terhadap kecederaan yang dialami, tetapi untuk mereka mengambil perhatian yang manasabah untuk mencegah dan mereka hanya diperlukan tidak lebih daripada mengambil langkah-langkah yang manasabah untuk melindungi Plaintif Kedua terhadap risiko kecederaan yang ex hypothesi (guru) yang sepatutnya telah pun dipralihat oleh mereka, (lihat kes Richards v. State of Victoria [1969] VR 139, 141).

Defendan-Defendan didalam Pembelaan mereka menegaskan bahawa kecederaan Plaintif Kedua adalah diakibatkan keseluruhannya atau sebahagian besarnya kerana kelalaian dan keingkaran Plaintif Kedua mengikut arahan semasa mandi di kawasan tersebut. Defendan-Defendan memplidkan butir-butir kecuaian Plaintif Kedua seperti di Perenggan 15 Pembelaan Terpinda Defendan-Defendan.

Dari keterangan-keterangan yang dikemukakan saya dapati tidak ada keterangan yang Plaintif Kedua secara senyap-senyap tanpa kebenaran dari Defendan Kedua telah pergi ke kawasan yang lebih dalam berhampiran dengan jambatan. Juga tidak ada keterangan yang Plaintif Kedua memberi maklumat palsu kepada Defendan-Defendan yang beliau pandai berenang.

Persoalan samada kecederaan Plaintif Kedua diakibatkan oleh kecuaian Defendan-Defendan adalah bergantung pada fakta kes: lihat kes: Canadian National Railway Company v. Norsk Pacific Steamship Co. [1992] 1 SCR 1021.

Adalah undang-undang mantap bahawa untuk Plaintif Kedua mendapat gantirugi, ujian yang dikenakan adalah Defendan-Defendan secara manasabah dapat menjangkakan kerugian berlaku adalah atas sebab Defendan telah melanggar kewajipan berjaga-jaga. (lihat kes The Wagon Mound [1961] AC 388 (PC); Jaswant Singh v. Central Electricity Board & Anor [1967] 1 LNS 62; [1967] 1 MLJ 272; Government of Malaysia & Ors v. Jumat bin Mohamed & Anor [1977] 1 LNS 29; [1977] 2 MLJ 103 . Di dalam kes Arab-Malaysian Finance Bhd v. Steven Phoa Cheng Loon & Ors, [2003] 1 CLJ 585, 604 Mahkamah Rayuan merujuk pada kes Joiley v. Sutton London Borough Council [2000] 1 WLR 1082, 1089 yang menyatakan bahawa samada kecederaan tertentu boleh dijangkakan atau sebaliknya merupakan persoalan fakta kes-kes tertentu.

Kesimpulannya dari keterangan-keterangan yang dikemukakan dan alasan-alasan di atas, saya dapati bahawa Defendan- Defendan secara manasabah dapat menjangkakan kecederaan dan kerugian keatas Plaintif Kedua berlaku adalah atas sebab Defendan-Defendan telah melanggar kewajipan berjaga-jaganya terhadap Plaintif Kedua.

Defendan-Defendan adalah cuai kerana gagal mengambil segala langkah yang munasabah dan wajar untuk mengelak Plaintif Kedua yang dibawah seliaan dan jagaan mereka daripada mengalami kecederaan. Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga tidak mengambil langkah-langkah yang mencukupi untuk mengelak daripada berlakunya kejadian lemas keatas Plaintif Kedua. Plaintif Kedua tidak diberi amaran yang mencukupi semasa pertama kali mandi dan bermain air di air terjun berkenaan.



Res ipsa loquitor

Maxim res ipsa loquitor didefinasikan dalam Halsbury's Laws of England, Edisi ke 4, Vol. 34 seperti berikut :-

"Under the doctrine res ipsa loquitor a plaintiff establishes a prima facie case of negligence where (1) it is not possible for him to prove precisely what was the relevant act or omission which set in train the events leading to the accident, and (2) on the evidence as it stands at the relevant time it is more likely than not the effective cause of the accident was some act or omission of the defendant or of someone for, whom the defendant is responsible, which act or omission constitutes a failure to take proper care for the plaintiffs safety. There must be reasonable evidence of negligence. However where the thing which causes the accident is shown to be under the management of the defendant or his employees, and the accident is such as in the ordinary course of things does not happen if those who have the management use proper care, it affords, reasonable evidence, in the absence of explanation by the defendant, that the accident arose from want of care."

Dalam kes M.A Clyde v. Wong Ah Mei [1970] 1 LNS 73, Mahkamah Persekutuan menghuraikan maxim ini seperti berikut:



"... it is for the plaintiff to prove negligence and not for the defendant to disprove it, may cause hardship to the plaintiff if it is impossible for him to know -what precise acts of omission led to this damage, and this is most obviously so where the cause of the damage is peculiarly within the means of knowledge of the defendant who caused it."

Walau bagaimanapun untuk maxim ini terpakai ".... the accident having happened should tell its own story and raise the inference of negligence so as to establish a prima facie case against the defendant. The story must be clear and unambiguous; if it may tell one of half a dozen stories the maxim is inapplicable. In other words, where it applies, the maxim entities the Plaintiff to rely as evidence of negligence upon the mere happening of the accident. He need not allege or prove any specific act or omission of the defendant if the result, which he does prove, of some unspecified act or omission makes it more probable than not that the damage was caused by the negligence of the defendant." : lihat kes M.A Clyde v. Wong Ah Mei [1970] 1 LNS 73 ).

Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga bertanggugjawab menjaga keselamatan Plaintif Kedua ketika di air terjun tersebut. SD3 ( Defendan Pertama) telah empat kali pergi ke air terjun berkenaan. Beliau tahu dan akui yang tempat tersebut merbahaya tapi masih membawa pelajar-pelajar beliau ke sana.

Ikut keterangan SD2 tempat dimana kejadian berlaku hanya dapat lihat permukaan air sahaja dan tidak sesiapa boleh mejangka yang kawasan itu merbahaya. Plaintif Kedua adalah seorang pelajar yang pertama kali ke situ.

Tidak ada amaran diberikan oleh Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga berikan pada Plaintif Kedua yang pertama kali kesana yang tempat berkenaan dalam dan merbahaya. Defendan Pertama yang tahu bahawa tempat tersebut merbahaya, tidak tunjukkan dimanakah bahagian yang merbahaya berkenaan.

Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga masih membenarkan pelajar-pelajar mereka termasuk Plaintif Kedua mandi di air terjun tersebut walaupun tahu yang kawasan itu merbahaya tanpa memberi pengawasan yang mencukupi.

Defendan Kedua yang diberi tugas untuk mengawasi pelajar-pelajar perempuan termasuk Plaintif Kedua menyatakan beliau tidak nampak bila Plaintif Kedua pergi meninggalkan tempat mandi pelajar-pelajar perempuan walaupun jarak dari tempat mandi ke tempat kejadian dalam jarak 30 meter. Hanya 10 orang pelajar yang mandi dan bermain air pada masa itu. Saya dapati Defendan Kedua lalai dan cuai dalam tanggung jawabnya untuk mengawasi Plaintif Kedua dengan Defendan Kedua tahu tempat tersebut merbahaya.

Menurut keterangan SP2, Plaintif Kedua dan tiga rakannya telah memberitahu Defendan Kedua bahawa mereka mahu ke arah jambatan. Keterangan ini tidak dicabar dan tidak disoal balas oleh Defendan-Defendan.

Oleh itu berdasarkan otoriti kes Aik Ming (M) Sdn Bhd & 8 Ors v. Chang Ching CHuen & 3 Ors [1995] 3 AMR 2375, Defendan-Defendan dengan itu telah menerima yang Plaintif Kedua telah memberitahu Defndan Kedua yang beliau akan ke arah jambatan.

Jadi pemergian Plaintif Kedua dan rakan-rakannya ke arah jambatan iaitu ditempat kejadian adalah dalam pengetahuan Defendan Kedua, Jika Defendan Kedua tidak cuai dalam pengawasan beliau sudah tentu Plaintif Kedua tidak akan alami kejadian lemas ini.

NH Chan JCA didalam kes Teoh Guat Looi v. Ng Hong Guan [1998] 4 CLJ 416 menyatakan seperti berikut:

... res ipsa loquitor was in essence no more than a common sense approach to the effect of the evidence in certain circumstances. It means that a plaintiff prima facie establishes negligence where (i) it is not possible for him to prove precisely how the accident happened but (ii) on the evidence as it stands, he manages to show that the accident could not have happened without the negligence on the part of the defendant.

Untuk maksim res ipsa loquitor menjadi terpakai, Plaintif-Plaintif haruslah pertamanya menentukan satu kes prima facie kecuaian.

Hal keadaan sesuatu kejadian boleh membangkitkan tanggapan kecuaian di bawah maksim res ipsa loquitor dimana Plaintif Kedua telah lemas di tempat yang Defendan Pertama , Kedua dan Ketiga tahu ianya merbahaya dan Plaintif Kedua tidak seharusnya berada ditempat itu tetapi akibat kecuaian Defendan-Defendan beliau lemas disitu. Jelas Plaintif Kedua tidak akan lemas tanpa kecuaian dari Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga. Disini satu kes kecuaian prima facie telah dibuktikan.

Kes prima facie dibuktikan di mana adalah tidak berkemungkinan untuk membuktikan dengan tepatnya bagaimana kejadian lemas itu berlaku. Keterangan menunjukkan kejadian lemas tidak mungkin berlaku tanpa sebarang kecuaian di pihak Defendan-Defendan.

Kejadian lemas telah berlaku dengan cara bahawa prima facie ianya tidak mungkin berlaku tanpa kecuaian di pihak Defendan-Defendan Kes prima facie ini telah memindahkan kepada Defendan-Defendan bebanan untuk membuktikan bahawa mereka tidak cuai. Defendan –Defendan telah tidak berusaha untuk melakukan perkara untuk mengelakkan daripada kejadian lemas berlaku.

Keadaan kes ini Defendan-Defendan mengetahui bagaimana kejadian lemas berlaku dan apakah punca yang menyebabkan kejadian lemas tersebut. Bagaimana kejadian tersebut berlaku juga adalah dalam pengetahuan Defendan-Defendan.

Ini merupakan kes res ipsa loquitor. Berdasarkan keterangan, Plaintif-Plaintif telah berjaya menunjukkan wujudnya tanggungan.

Plaintif-Plaintif menegaskan bahawa Defendan Keenam adalah majikan pada Defendan Pertama hingga Kelima oleh itu beliau mempunyai tanggungan vikarius. Manakala Defendan-Defendan menghujahkan bahawa peruntukan Seksyen 5 dan 6 Akta 359 terpakai dalam tindakan ini dimana dimana pegawai kerajaan yang bertanggung jawab terhadap tindakan tort yang didakwa mestilah dijadikan pihak.

Tanggungan vikarius akan timbul terhadap Kerajaan Malaysia sebagai prinsipal hanyalah bila penjawat awam yang dinamakan sebagai pihak dalam tindakan didapati bertanggungan untuk kesalahan tort.

Kerajaan Malaysia hanya akan bertanggungan secara vikarius mengikut peruntukan Seksyen 5 dan Seksyen 6, Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 359) dan bukan sebagai pesalah tort. Liabiliti hanya akan timbul bila penjawat awam didapati bertanggungan sebagai pesalah tort.

Plaintif-Plaintif di dalam tindakan telah menamakan pesalah tort yang didakwa melakukan kecuaian. Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga dalam keadaan ini adalah pesalah tort untuk tindakan ini.

Dari alasan diatas, saya berpandangan bahawa kerugian dan kerosakan yang dialami oleh Plaintif-Plaintif adalah disebabkan oleh pelanggaran kewajipan oleh Defendan-Defendan. Kecederaan yang dialami oleh Plaintif Kedua adalah akibat dari kecuaian Defendan-defendan semasa Plaintif Kedua berada didalam seliaan dan kawalan DefendanPertama, Kedua dan Ketiga. Jadi kecederaan atau kerosakan yang dialami oleh Plaintuf Kedua adalah kerana kelalaian Defendan-Defendan maka kerosakan itu adalah kerosakan atau kerugian yang diakibatkan secara terus atau lansung disebabkan oleh Defendan-Defendan.

Keterangan menunjukan yang Defendan-Defendan telah melanggar kewajipan berjaga-jaga mereka terhadap Plaintif Kedua. Maka Defendan-Defendan adalah bertanggungan terhadap Plaintif-Plaintif.

KUANTUM

Gantirugi am :


  1. Pain and suffering and loss of amenities

P19 adalah Lapuran Perubatan keatas Plaintif Kedua dari SP4. SP4 adalah Pakar Perubatan dan Neurologi, Jabatan Neurologi, Hospital Kuala Lumpur yang memeriksa Plaintif Kedua. SP4 sahkan Plaintif Kedua telah alami ‘severe brain damage’ akibat dari kejadian lemas tersebut.

Mengikut SP4 dan P19, kecederaan yang Plaintif Kedua alami adalah kecederaan kekal seperti berikut:

‘….completely dependant for all her basic needs. Her hands were in dystonis position at the wrist and rigidly flexed at the elbow. Attempts to straighten her upper limbs were hardly possible. Her lower limbs were also dystonic in scissoring position. Her hips were adducted and internally rotated, both knees were almost touching each other while the foot were separated and internally rotated. This position is typically seen in individual with severe brain damage. She is suffering from post-anoxic dystonic rigid syndrome, as a result of the near drowning result.’

Jadi untuk gantirugi am bagi pain and suffering and loss of amenities iaitu bagi cerebral edema dengan ‘severe brain damage’ diperintahkan sebanyak RM 350, 000. 00.

Peguam Plaintif merujuk pada kes Ervina binti Tatam & Anor v Othman bin Baba [2008] 1 PIR [34] 203 dimana award sebanyak RM300,000.00 diawardkan bagi Plaintif Kedua dalam kes tersebut untuk brain injury – spastic diplegic cerebral palsy. Didalam kes ini Mahkamah telah mengambil kira usia Plaintif Kedua dan ‘loss of amenities dan physical disablement for the rest of her life.’

Peguam Defendan-Defendan menghujahkan award sebanyak RM200, 000.00 adalah mencukupi untuk pain and suffering dan loss of ameneties. Beliau merujuk pada kes Asiah bt Kamsah v Dr. Rajinder & Ors. [2002] 1 MLJ 484, Plaintif Pertama alami alami kecacatan otak yang kekal yang tidak boleh dipulihkan dan award untuk pain and suffering dan loss of ameneties diawardkan sebanyak RM200,000.00.

Beliau juga merujuk pada kes Wong Lim Fatt William (infant) v Haidawati bte Bolhen and Anor. [1994] 2 MLJ 497 dimana Mahkamah mengawardkan sebanyak RM190,000.00 untuk pain and suffering dan loss of amenities. Kes Tan Cheong Poh 7 Anor. v Teoh Ah Keow [1996] 3 CLJ 665 juga dirujuk oleh Defendan-Defendan dimana award sebanyak RM100,000.00 untuk pain and suffering dan loss of amenities.

Kes Ervina binti Tatam yang dirujuk oleh peguam Plaintif tidak jauh berbeza dengan kes ini dari segi kecacatan kekal sepanjang hayat kerana brain injury dan terpaksa bergantung pada orang lain untuk meneruskan kehidupan harian beliau. Kes ini diputuskan pada tahun 2008.

Kes-kes yang dirujuk oleh peguam juga merupakan kes-kes kecacatan kekal sepanjang hayat kerana brain injury dan terpaksa bergantung pada orang lain. Tetapi kes-kes ini diputuskan pada tahun 2002, 1994 dan 1996.

Saya dapati kes-kes ini telah diputuskan lama dahulu dan saya berpendapat kejatuhan mata wang dan faktor perubahan masa perlu diambil kira didalam memberi award.

Plaintif Kedua telah menderita teramat sangat dengan brain damage yang teruk dan apabila seorang mengambil kira semua faktor-faktor ini dan merasai atau menjiwai kerosakan yang berlaku bagi mental Plaintif Kedua juga mengambil kira batasan fizikal dan mental amat menyusahkan beliau, maka saya berpendapat satu jumlah sesuai perlu diawardkan pada beliau dan saya mengawardkan untuk ganti rugi am untuk pain and suffering and loss of amenities sebanyak RM 350, 000, 00.



  1. Post trial nursing care

Bagi post trial nursing care saya telah mengawardkan sebanyak RM84, 000.00.

Peguam Plaintif menghujahkan untuk post trial nursing care award sebanyak RM156, 000.00 adalah berpatutan. Ini adalah kerana Plaintif Kedua terpaksa bergantung sepenuhnya dari segi penjagaannya pada ibunya,SP3. Sebelum kejadian ini menurut SP3 beliau bekerja sbagai Tukang Masak dengan pendapatan sebanyak RM1,500.00 sebulan.

Selepas kejadian ini, SP3 telah berhenti kerja kerana terpaksa menjaga Plaintif Kedua sepenuh masa dan disamping itu beliau membuat jualan nasi lemak dengan pendapatan sebanyak RM500 .00 sebulan. Dengan pendapatan sebanyak RM500.00 untuk tempoh 26 tahun, peguam Plaintif menghujahkan jumlah RM156, 000.00 adalah wajar.

Peguam Kanan Persekutuan untuk Defendan-Defendan menghujahkan bahawa award sebanyak RM 84,000.00 adalah wajar. Ini adalah kerana SP3 menyatakan yang beliau membuat jualan nasi lemak dengan pendapatan sebanyak RM500.00 sebulan.

Tiada keterangan dokumen mengenai pendapatan SP3. Atas pilihan SP3 sendiri beliau telah memilih untuk menjaga Plaintif Kedua. Beliau berhujah sejumlah RM350.00 sebulan adalah manasabah diawardkan untuk post trial nursing care berdasarkan pada kes Marappan Nallan Koundar & Anor v. Siti Rahmah bte Ibrahim [1990] 1 CLJ 32. SP3 memilih untuk menjaga Plaintif Kedua.

Jadi berdasarkan pada kes Bujang bin Mat & Anor v. Lai Tzen Hai & Anor [2004] 4 CLJ 127 yang menerima pakai kes Lim Poh Choo v. Camden and Islington Area Health Authority [1980] AC 174, jumlah manasabah diawardkan untuk nursing care . Jadi jumlah manasabah, beliau menghujahkan sebanyak RM350.00 sebulan. Cara pengiraan adalah seperti berikut :

Jangka hayat wanita Malaysia : 77 tahun

Jangka hayat Plaintif Kedua : 10 hingga 20 tahun pengurangan dari wanita normal.

= 77 – 20

= 57 (base age)

Multiplier: 57 (base age) – (actual age) = x years -1/3 of x (for contingencies)

= 57 – 17 = 40 – 1/3 (40)

= 40 – 13

= 27 tahun

Kos post trial and pre trial nursing care

= RM350 x 12 x 27 (multiplier)

= RM 113, 400

Kos post trial nursing care

= 27 tahun – 7 tahun (pre trial) = 20 tahun

= RM350 x 12 x 20 (multiplier)

= RM 84,000

Saya bersetuju dengan hujahan dari Peguam Kanan Persekutuan. Tidak ada keterangan dokumen untuk pendapatan SP3. Juga tidak ada keterangan dari saksi saksi lain mengenai pendapatan SP3 ini. Keterangan SP3 cuma self serving evidence.

Tidak dinafikan yang SP3 menjaga Plaintif Kedua sepenuh masa. Jadi saya berpendapat award sebanyak RM350.00 sebulan adalah manasabah sebagai kos untuk post trial nursing care yang saya berpendapat adalah wajar.

Plaintif Pertama dan Kedua juga menuntut untuk gantirugi am (Perenggan 20 Penyata Tuntutan Terpinda) seperti berikut:



  • gantirugi am untuk kesulitan,

  • hilang kesenangan

  • hilang masa depan untuk berkahwin

  • hilang masa depan dan

  • gantirugi teladan.

Semua tuntutan diatas tidak diluluskan kerana tidak ada keterangan yang dikemukakan oleh saksi saksi Plaintif-Plaintif untuk Mahkamah beri pertimbangan.

Gantirugi khas :

Gantirugi khas yang dituntut oleh Plaintif-Plaintif telah diperincikan dalam Perenggan 19 Penyata Tuntutan Terpinda. Shankar J (beliau ketika itu) dalam kes Leng Yang Sua & Anor. V. Ng Yen Kee & Anor. [1986] CLJ 448 menyatakan that special damages must be strictly proved. Juga lihat kes kes In Lee Sau Kong v. Leow Cheng Chieng [1960] 1 LNS 56; [1961] 27 MLJ 17, On Ah Long v. Dr. S. Underwood [1983] 2 CLJ 198; [1983] CLJ (Rep) 300, Johore State Economic Development Corp. v. Queen Bee Sdn Bhd [1995] 1 LNS 298; [1995] 4 MLJ 371 Abdul Malik Ishak J merujuk pada penghakiman Viscount Dunedin didalam kes Admiralty Commissioners v. SS Susquehanna [1926] AC 655 yang menjadi satu "trite law" iaitu "If there be any special damages which is attributable to the wrongful act, that special damages must be averred and proved and, if proved, will be awarded".



Item (a) ialah tuntutan mengenai kos pengangkutan ambulan membawa Plaintif Kedua dari Hospital Putrajaya ke Sekolah Menengah Teknik Gombak pada 13.2.2004 sebanyak RM200.00.

Item (b) ialah tuntutan memgenai kos pengangkutan ambulan Kuala membawa Plaintif Kedua dari Hospital Kuala Lumpur ke Sekolah Menengah Teknik Gombak pada 5.3.2004 sebanyak RM150.00.

Bagi item (a) di atas, saya awardkan sebanyak RM200.00 dan item (b) sebanyak RM150.00. Dari keterangan SP1 yang disokong oleh keterangan SD3 bahawa Plaintif Kedua dibawa balik dari Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan ke Hospital Putrajaya dengan kos pengangkutan sebanyak RM200.00 dan dari Hospital Kuala Lumpur ke Sekolah Menengah Teknik Gombak dengan kos sebanyak RM150.00.

Saya dapati Plaintif Kedua ada dipindahkan dari hospital seperti di item (a) dan (b). Bagi kedua dua item ini saya luluskan. Sebanyak RM200.00 bagi item (a) dan RM150.00 bagi item (b) adalah jumlah yang munasabah.

Item (c) ialah tuntutan untuk ubat-ubatan, diet, barang, alatan untuk rawatan atau jagaan Plaintif Kedua bermula dari Mac 2004 sehingga Ogos 2005.

Dari keterangan yang dikemukakan tidak ada nota keterangan mengenai kos untuk ubat ubatan, diet, barang, alatan untuk rawatan atau jagaan Plaintif Kedua yang dikeluarkan oleh Plaintif.

Dalam kes Lee Sau Kong v. Leow Cheng Chieng [1960] 1 LNS 56; [1961] 27 MLJ 17, Mahkamakh Rayuan bersetuju dengan penghakiman Lord Goddard in Bonham Carter v. Hyde Part Hotel Ltd [1948] 64 seperti berikut”Plaintiff must understand that if they bring actions for damages it is for them to prove their damages; it is not enough to write down the particulars and, so to speak, throw them at the head of the Court saying: This is what I have lost, I ask you to give me these damages. They have to prove it.”

Plaintif melalui keterangan SP1 hanya kemukakan keterangan mengenai kos perbelanjaan harian Plaintif Kedua yang tidak diplidkan di dalam pliding. Adalah undang-undang matan bahawa pihak pihak adalah terikat dengan pliding masing-masing.

Saya dapati atas imbangan keberangkalian Plaintif Plaintif gagal membuktikan tuntutan mereka bagi item (c) ini.

Item (d) adalah tuntutan mengenai kos rawatan refleksologi 20 sesi (RM40 untuk satu sesi x 20 sesi).

Saya dapati ada keterangan yang Plaintif Kedua ada membuat rawatan refleksologi di Hospital kerajaan. Tidak ada keterangan samada rawatan ini dikenakan bayaran. Tidak ada resit dikemukakan. Atas imbangan keberangkalian, saya dapati item (d) ini tidak dapat dibuktikan.



Item (e) adalah tuntutan untuk kos katil IVTM – AL 1092.

Tidak ada keterangan dikemukakan untuk pembelian katil ini. Dengan itu tuntutan ini tidak diluluskan.

Item (f) adalah tuntutan untuk bayaran Lapuran Perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan sebanyak RM40.

Item (g) adalah tuntutan untuk bayaran Lapuran Perubatan dari Hospital Putrajaya sebanyak RM40.



Bagi item (f) dan (g) ini telah diakui oleh Defendan-Defendan akan kewujudan dokumen-dokumen ini di dalam Ikatan Dokumen Bersama. Plaintif Kedua telah dimasukkan ke dalam kedua dua hospital di atas.

Laporan Perubatan dari kedua dua hospital berkenaan telah difailkan ke Mahkamah. Jadi kedua dua Lapuran Perubatan telah diperolehi oleh Plaintif-Plaintif. Maka dengan itu saya meluluskan sebanyak RM40 masing masing bagi item (f) dan (g), dimana saya berpendapat adalah munasabah.

Peguam Plaintif – Paintif ada menghujahkan mengenai dengan pre and post trial travelling expenses dan pre trial nursing care, semua ini tidak dapat dipertimbangkan oleh Mahkamah kerana perkara perkara ini tidak diplidkan.

Peguam Kanan Persekutuan ada menghujahkan bahawa Plaintif-Plaintif tidak boleh lagi menuntut untuk gantirugi kerana mereka telahpun mendapat bantuan dalam bentuk kewangan dan peralatan-peralatan dari Defendan-Defendan yang semuanya berjumlah RM32, 278.15.

Peguam Plaintif –Plaintif menghujahkan, Plaintif-Plaintif akui ada menerima bantuan dari Defendan-Defendan. Tetapi itu tidak menghalang Plaintif- Plaintif untuk menuntut untuk gantirugi atas kecuian yang dilakukan oleh Defendan-Defendan.

Saya bersetuju dengan hujah peguam Plaintif-Plaintif, Plaintif-Plaintif ada menerima bantuan dalam bentuk kewangan dan peralatan-peralatan dari Defendan-Defendan.

Ini adalah bantuan yang diberikan dan penerimaan bantuan yang diberikan ini tidak menghalang Plaintif Plaintif untuk melaksanakan haknya terhadap Defendan-Defendan yang telah cuai dan mengakibatkan kerosakan dan kerugian ke atas Plaintif Kedua.

Lagi pun apa yang disumbangkan oleh Defendan-Defendan adalah dalam bentuk bantuan dan bukannya bayaran gantirugi yang Plaintif Kedua alami akibat kecuian Defendan-Defendan.

Saya juga meluluskan faedah untuk gantirugi khas atas kadar 4% setahun mulai dari tarikh kejadian sehingga penghakiman dan selepas itu atas kadar 8% setahun sehingga selesai pembayaran.

Faedah untuk gantirugi am diluluskan atas kadar 8% setahun mulai dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh. Kos tindakan diperintahkan kepada Plaintif dan untuk ditaksirkan.

Bertarikh: 10 Ogos 2011.

(ROSILAH BINTI YOP)

Pesuruhjaya Kehakiman

Sivil (1)

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Cik Suhaila binti Mohd. Daud bagi pihak Plaintif

Tetuan Suhaila & Zaiton

Peguambela dan Peguamcara

23A, Jalan Pandan Indah 4/6A

Taman Pandan Indah

55100 Kuala Lumpur


Pn Wan Suhaila binti Mohd bersama En. Saiful Nizam bagi pihak Defendan

Peguam Kanan Persekutuan

Jabatan Peguam Negara Malaysia

Bahagian Guaman

Aras 3, Blok C3

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan



62512 Putrajaya



Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©anasahife.org 2016
rəhbərliyinə müraciət